https://www.powtoon.com/s/bIPlHeU6k2h/1/m
Disediakan oleh: Nurulaini Binti Razali
30DLS20F1004
Pengetahuan
Malaysia terdiri daripada rakyat yang
berbilang kaum, bangsa dan agama atau mudah dikenali sebagai rakyat majmuk.
Perpaduan ini merupakan perkara yang sangat penting di negara kita. Kita
sebagai rakyat Malaysia sepatutnya mengetahui tentang peristiwa tragedi yang
berlaku pada 13 Mei 1969 yang telah menghancurkan perpaduan dan ketenteraman di
negara kita. Tragedi tersebut telah memberi impak yang besar dan kita sebagai
rakyat yang hidup di generasi kini mestilah memahami dan mengambil iktibar
daripada peristiwa tersebut.
Sifat perpaduan ini semestinya dipupuk
sejak kecil. Hal yang demikian adalah supaya, individu-individu tersebut akan
menjadi seorang yang berguna apabila mereka mencecah dewasa. Kita sebagai
rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana dilahirkan di negara yang mempunyai
masyarakat yang majmuk. Mengapa? Ini adalah kerana, apabila kita memperoleh
semangat perpaduan di dalam diri kita, kita akan mempunyai perasaan ingin tahu
lebih dalam mengenai budaya kaum-kaum yang lain.
DISEDIAKAN
OLEH: IRDINA HAZIQAH BINTI DANIANTO
Iktibar
Terdapat beberapa iktibar
yang kita perlu mengambil tahu, menghayati dan gunakan semasa kehidupan harian
untuk mengekalkan perpaduan di negara kita.
Antaranya ialah, kita
mestilah memupuk sikap kerjasama apabila melakukan sesuatu perkara. Sebagai
contoh, apabila kita terlibat dalam aktiviti gotong royong kita mestilah bersama-sama
membersihkan kawasan-kawasan di tempat berkenaan. Jangan sesekali jadi seorang
yang hanya fikirkan diri sendiri. Sikap tersebut amatlah tidak bermoral dan
akan dipandang rendah oleh masyarakat sekeliling.
Selain itu, kita juga
perlulah sentiasa hormat menghormati antara satu sama lain tidak mengira kaum,
bangsa dan agama. Apabila kita mempunyai sikap tersebut, masyarakat sekeliling
akan pandang kita dengan pernuh hormat. Hubungan kita dengan masyarakat
sekeliling juga akan sentiasa terjaga. Sebagai contoh, apabila jiran kita
menyambut hari perayaan, kita mestilah hormat dengan tidak mengganggu mereka yang
pada ketika itu sedang meluangkan masa bersama keluarga mereka yang tercinta.
Seterusnya, kita wajarlah
mempunyai sikap rajin berusaha untuk lebih mengenali tentang sesuatu budaya.
Sebagai contoh, kita mestilah menghadirkan diri sekiranya sekolah kita
mengadakan sambutan kemerdekaan. Hal yang demikian kerana, kita akan berpeluang
untuk mempunyai pengalaman memakai pakaian dari kaum yang berlainan. Hubungan
kita dengan kawan sekolah kita yang berbilang kaum itu juga akan menjadi lebih
akrab.
DISEDIAKAN
OLEH: IRDINA HAZIQAH BINTI DANIANTO
Harapan
Harapan saya adalah supaya
rakyat Malaysia sentiasa mengamalkan dan memupuk semangat perpaduan ini. Kita
sebaik-baiknya ingin mengelakkan negara kita daripada berlakunya peristiwa yang
tidak diingini seperti tragedi 13 Mei 1969.
Saya juga berharap supaya
masyarakat di generasi kini sentiasa mengekalkan semangat ini supaya akan
diikuti dan diteladani oleh generasi yang akan datang. Kita mestilah ingat
bahawa segala yang dilakukan sekarang akan memberi impak pada masa yang akan
datang, tidak kira sama ada kecil atau besar.
Terakhir sekali, saya amat
berharap agar kita sentiasa menghargai jasa tokoh-tokoh yang telah banyak
berjuang demi memerdekakan negara kita dan menyatupadukan rakyat yang berbilang
kaum ini. Tanpa mereka siapalah kita.
DISEDIAKAN
OLEH: IRDINA HAZIQAH BINTI DANIANTO
Langkah-langkah mengekalkan dan memantapkan perpaduan di Malaysia
Disediakan oleh; NUR FARHAH SABRINA BINTI MOHD.ZAKI
Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk sekali gus mengelakkan peristiwa hitam 13 Mei 1969 daripada berulang kembali.
Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan “Negara Bersih Rakyat Sihat”. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.
Selain itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui amalan kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contoh, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Hari Krismas merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Disamping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan apabila kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan juga boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permainan bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menamakan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.
Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tidak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.
Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lalai serta memandang enteng akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai.
Justeru itu, terdapat suatu sudut yang kurang diberikan perhatian oleh ramai pihak iaitu berkaitan kepentingan Rukun Negara di dalam memperkukuhkan lagi perpaduan rakyat berbilang kaum. Sungguhpun kita baru sahaja meraikan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara sempena pengisytiharaannya pada 31 Ogos 1970, namun demikian ianya gagal dihayati dan difahami malah tidak dihafal oleh kebanyakan rakyat sebaliknya hanya sekadar tersemat sebagai suatu ideologi semata-mata terutamanya oleh generasi muda.
Hasilnya, ketiadaan asas ini telah mewujudkan tindakan radikal dan ekstrem di dalam kehidupan seharian dan media sosial sehingga membawa kepada krisis kesan daripada pengabaian Rukun Negara sebagai pedoman masyarakat majmuk. Ingin ditegaskan bahawa prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara dibentuk bertujuan untuk membentuk perpaduan yang kukuh sebagai kunci kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum bagi menjamin kestabilan negara.
Maka, sudah tiba masanya ideologi ini diberikan wajah baru dengan lima prinsipnya iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan diharmonikan dan dibentuk menjadi suatu akta dikenali sebagai Akta Rukun Negara. Pelaksanaan akta ini tidak bersifat terpilih sebaliknya akan melindungi setiap agama dan kaum yang terdapat di dalam negara.
Perkara ini penting kerana sudah menjadi fitrah kejadian manusia yang memerlukan kepada undang-undang dan peraturan sebagai garis panduan kehidupan. Maka, apabila dilaksanakan kelak setiap perbuatan yang dilihat melanggar prinsip tersebut akan dikenakan tindakan yang bersesuaian bagi menjamin keharmonian dan perpaduan di negara.
Konklusinya, prinsip dan matlamat Rukun Negara amat relevan dan perlu diharmonikan dengan kewujudan Akta Rukun Negara ini agar menjadi suatu mekanisma perundangan penting bagi membendung masalah yang menyelubungi konflik perpaduan kaum yang dilihat semakin meruncing di negara ini.
Penjajahan British melalui dasar pecah dan perintah serta mementingkan kuasa dan ekonomi menyebabkan terjadi jurang perbezaan dan pengenalan ekonomi berbentuk etnik antara kaum dan wilayah. Pelbagai kaum terasa seperti tidak mendapat pembelaan dan peluang yang sewajarnya. Dalam kempen pilihanraya 1969 pula, terdapat parti-parti politik yang telah menimbulkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu. Kehilangan dua pertiga majoriti parti Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, diikuti kelantangan beberapa pemimpin parti pembangkang dan penyokong mereka yang menimbulkan perasaan saling membenci dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Kemuncak manifestasi perkauman ini ialah peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
Kerajaan bertindak pantas dengan menubuhkan sebuah badan khas yang dikenali sebagaiMajlis Gerakan Negara (MAGERAN). Majlis ini dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin, adil dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum.
Peristiwa ini menunjukkan bahawa perpaduan nasional sukar dicapai jika terdapat jurang perbezaan yang terlalu besar terutama dari segi ekonomi, politik dan sosial antara rakyat pelbagai kaum. Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan. Fungsi utama majlis ini ialah meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan untuk menyelesaikannya. Antara hasil utama Majlis ini ialah Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru.
Perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan negara adalah bertujuan agar fikiran, pendapat dan perasaan rakyat pelbagai kaum dapat dipersatukan secara pemuwafakatan dan bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.
Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ”Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”
Secara tidak langsung dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar.
Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan ia juga dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan perwatakan murid yang diingini bagi memupuk perpaduan. Kurikulum ini berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran Dan Assunnah dan Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifatsifat mulia serta membentuk tingkahlaku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia.
Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Bin Hají Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah.
Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk menjamin perpaduan dan kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17/2000 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah, maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya golongan relajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.
Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh Kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah utama dari sembilan cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi ”Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan”
Cabaran ini berkait dengan cabaran ke lima yang berbunyi ”Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur dengan rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada negara’. Cabaran ini berkait pula dengan cabaran ke tujuh iaitu untuk ”Mewujudkan masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang” iaitu sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada individu tertentu sahaja.
Terdapat beberapa faktor sejarah yang menyulitkan proses pencapaian perpaduan di Malaysia. Di antaranya ialah;
· Agama dan kebudayaan: Setiap kumpulan etnik mempunyai agama dan kebudayaan yang berlainan. Setiap kaum pula mempunyai adat resam, bahasa, kesenian, budaya dan sistem nilai yang berbeza. Masing-masing kurang mengenali dan memahami dan seringkali menganggap mereka sahaja yang terbaik. Sikap ini menguatkan perasaan buruk sangka yang menghalang pergaulan baik antara pelbagai kaum.
· Dasar Penjajah British: Penjajah British mengamalkan dasar pecah dan perintah yang menjarakkan kumpulan-kumpulan etnik demi kepentingan dan keselamatan mereka sendiri.. Penjajah sengaja menentukan status dan peranan yang berlainan bagi kaum yang tertentu. Interaksi antara kaum menjadi terbatas dan lahirlah sikap prasangka negatif yang kukuh antara rakyat tempatan yang berbilang etnik.
· Sistem pendidikan, persekolahan dan bahasa yang berlainan: Laporan Razak menyebut bahawa tiada satu sistem pendidikan nasional di Tanah Melayu di mana setiap etnik lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan bahasa ibunda masingmasing. Kurikulum yang digunakan juga tidak sama. Ada pula yang berpusat ke negara nenek moyang mereka, tidak terdapat bahasa pengantar yang sama. Keadaan ini melebarluaskan lagi jurang pergaulan, menghasilkan pandangan yang berlainan dan menjejaskan persefahaman dan perhubungan sesama rakyat di samping mewujudkan keperibadian dan perwatakan yang berbeza tanpa mempedulikan pembentukan warga negara yang beridentitikan satu negara.
· Amalan ekonomi yang berlainan: Setiap etnik menjalankan aktiviti ekonomi yang tertentu dan mendiami kawasan yang berlainan. Keadaan ini mewujudkan jurang pendapatan yang tidak seimbang dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan etnik yang berlainan jenis dan ras serta mengakibatkan perpaduan negara terancam.
· Perbezaan politik mengikut bangsa, kaum dan etnik: Kewujudan persatuan politik, sosial dan ekonomi berdasarkan bangsa, kaum dan etnik tertentu telah memmperkuatkan identiti sesuatu kumpulan dan menimbulkan perasaan syak wasangka kerana setiap kumpulan hanya memperjuangkan hak dan kepentingan kumpulan tertentu sahaja. Parti-parti politik yang berasaskan kepada suku kaum juga memainkan pelbagai isu sensitif seperti bahasa, budaya, ekonomi dan hak keistimewaan sehingga memburukkan lagi masalah perpaduan.
· Pendudukan Jepun: Kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu menambah jurang permusuhan antara orang Melayu dan orang Cina. Sebilangan besar tentera anti Jepun terdiri dari orang-orang Cina, sementara ramai pula orang Melayu yang diambil oleh tentera Jepun untuk menjadi askar dan polis. Keadaan ini menjadikan menjejaskan persefahaman dan menimbulkan perasaan kurang senang antara masyarakat Melayu dan Cina.
DEFINISI Perpaduan ialah penyatuan, dan darjah serta jenis penyatuan yang dipamerkan sesebuah masyarakat ataupun kumpulan d...