Monday, November 30, 2020

KAEDAH DAN LANGKAH YANG TELAH DIAMBIL OLEH PIHAK KERAJAAN

 KAEDAH DAN LANGKAH YANG TELAH DIAMBIL OLEH PIHAK KERAJAAN DALAM MENYUBURKAN INTEGRASI DAN PERPADUAN DI MALAYSIA

PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969

Penjajahan British melalui dasar pecah dan perintah serta mementingkan kuasa dan ekonomi menyebabkan terjadi jurang perbezaan dan pengenalan ekonomi berbentuk etnik antara kaum dan wilayah. Pelbagai kaum terasa seperti tidak mendapat pembelaan dan peluang yang sewajarnya. Dalam kempen pilihanraya 1969 pula, terdapat parti-parti politik yang telah menimbulkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu. Kehilangan dua pertiga majoriti parti Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, diikuti kelantangan beberapa pemimpin parti pembangkang dan penyokong mereka yang menimbulkan perasaan saling membenci dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Kemuncak manifestasi perkauman ini ialah peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Kerajaan bertindak pantas dengan menubuhkan sebuah badan khas yang dikenali sebagaiMajlis Gerakan Negara (MAGERAN). Majlis ini dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin, adil dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum.

Peristiwa ini menunjukkan bahawa perpaduan nasional sukar dicapai jika terdapat jurang perbezaan yang terlalu besar terutama dari segi ekonomi, politik dan sosial antara rakyat pelbagai kaum. Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan. Fungsi utama majlis ini ialah meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan untuk menyelesaikannya. Antara hasil utama Majlis ini ialah Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru.

Perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan negara adalah bertujuan agar fikiran, pendapat dan perasaan rakyat pelbagai kaum dapat dipersatukan secara pemuwafakatan dan bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.

Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Perpaduan Negara

Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara

Secara tidak langsung dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar.

Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan ia juga dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan perwatakan murid yang diingini bagi memupuk perpaduan. Kurikulum ini berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran Dan Assunnah dan Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifatsifat mulia serta membentuk tingkahlaku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia.

Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah

Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang Amat Berhormat DatoSeri Abdullah Bin Hají Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah.

Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk menjamin perpaduan dan kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17/2000 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah, maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya golongan relajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.

13 Mei 1969

Disediakan oleh ; Siti Salihah binti Samod

No comments:

Post a Comment

Perpaduan di Malaysia

DEFINISI    Perpaduan  ialah penyatuan, dan  darjah  serta  jenis  penyatuan yang  dipamerkan  sesebuah masyarakat  ataupun  kumpulan  d...